CahayaDiana.com ®

💕 Coretan Hati Cik Editor - Bukan Blog Gosip Artis 💕
Dokumentari

Apakah itu Dokumentari ?

28/05/2016

Apa itu Dokumentari? | Dokumentari yang saya maksudkan disini adalah filem dokumentari. Rasanya ramai yang dah tahu dokumentari tu apa, tapi masih ada lagi yang ajukan soalan ni kepada saya. Mungkin mereka mahukan kepastian tentang apa itu dokumentari. Atau mungkin juga inginkan info yang berilmiah mengenainya… Sebab yang bertanya ni saya kategorikan sebagai ‘adik junior’ yang belajar dalam bidang perfileman seperti saya. 🙂

Dokumentari adalah berasal dari kata dasar `document` yang memberi makna `to document reality`. Dokumentari merujuk kepada rakaman bersifat non-fiksi yang berperanan dalam memaparkan realiti kehidupan melalui rakaman kamera bagi membolehkan ia ditonton, difahami dan `dinikmati` merentas masa dan ruang. Dokumentari dianggap sebagai asas dalam penceritaan visual. Oleh kerana itu, kebanyakan pengarah filem cereka hebat dunia seperti Majid Majidi (Iran) dan Garin Nugroho (Indonesia) bermula atau pernah terlibat dalam pengarahan filem dokumentari.

Sedikit info mengenai Sejarah Dokumentari Dunia

Tidak sah kalau kita ingin kenali sesuatu tapi tidak diceritakan dengan sejarahnya sekali. Sejarah dokumentari dunia bermula apabila terma dokumentari digunapakai dalam ulasan filem berjudul Moana arahan Robert Flaherty pada tahun 1926 meskipun ketepatan terma tersebut pernah dipertikaikan beberapa tahun kemudian.

Di Malaysia, sejarah dokumentari bermula pada awal abad ke-20 apabila rakaman video bergerak (motion picture) digunakan sebagai medium propaganda pihak penjajah ketika itu. Penubuhan Malaysian Film Unit (MFU) pada tahun 1946 oleh pihak kerajaan ketika itu telah mencetuskan fenomena filem dokumentari dan merupakan titik penting dalam sejarah dokumentari di Malaysia.

Pada awal kemunculan dokumentari, penerbitan yang dihasilkan adalah bersifat langsung yang mana menekankan terhadap aspek rakaman realiti. Kamera hanya bertindak sebagai perakam dan merakam situasi sebenar yang kemudiannya ditambahbaik dengan kewujudan audio sebagai narotor di dalam penceritaan. Usaha ini adalah bagi mempertingkatkan kefahaman penonton disamping memberikan nilai tarikan terhadap visual yang dipaparkan.

Dari masa ke masa, revolusi dalam ketamadunan manusia turut merubah corak penontonan filem termasuklah filem dokumentari di seluruh dunia. Khalayak penonton pada masa kini yang menjadi semakin bijak menyebabkan para pembikin filem dokumentari sentiasa mencari pendekatan baru dalam `bercerita` melalui visual.

Kemunculan syarikat dan saluran televisyen khusus bagi dokumentari seperti National Geographic turut memberikan dimensi baru dalam pembikinan dokumentari apabila mencipta formula tersendiri dalam penceritaan dokumentari dengan menggunakan pendekatan real life entertainment.

Melalui pendekatan ini, National Geographic menggunakan elemen story driven dengan aplikasi watak (charactor) dalam menggerakkan cerita realiti (factual narrative). Ini semua membantu dalam mempelbagaikan dokumentari dalam pasaran sekaligus memastikan minat penonton terhadap filem dokumentari tetap kekal.

Kini, searus dengan perkembangan medium penerbitan dari filem 35mm, video digital hingga high definition (HD), dokumentari mampu berdiri megah sebagai salah satu format penerbitan yang mampu berdiri sendiri sebagai sebuah industri sebagaimana dilakukan oleh filem cereka.

Harap apa yang saya kongsikan ini bermanfaat kepada kita semua. Jika ada sebarang soalan mengenai filem dokumentari, boleh ajukan soalan anda pada komen di bawah. Jika anda rasa info ini bermanfaat, kongsi-kongsilah di media sosial anda.

  1. Nanti kak Zee nak buat dokumentari tentang masakan boleh ke CD tolong buatkan utk akk? Hehehehee…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge