CahayaDiana.com ®

💕 Coretan Hati Cik Editor - Bukan Blog Gosip Artis 💕
Facebook

Cara Allah buang kesombongan kita

08/06/2017

Cara Allah buang kesombongan kita: Sombongkah kita? Ego kah kita? Adakalanya kita sendiri pun tak nampak kelemahan diri sendiri. Tapi dalam diam, secara halus kita sebenarnya sombong, bongkak dan ego. Bukan kepada manusia, tapi kepada Allah sendiri yang telah menciptakan kita.

Ok ini bukan slot ustazah nak berceramah. Tapi terkesan saya dengan posting panjang lebar di facebook yang ditulis oleh penulis buku tersohor Bonda Nor. Tulisan yang simple dan bersahaja tapi penuh makna yang mendalam.

Cara Allah buang kesombongan kita

Kita berdoa, minta dengan Allah..

“Ya Allah, kalau ada ego atau kesombongan dalam hati aku, Engkau buangkanlah.”

Senang saja nak minta, kan?

Tapi kena ingat, tak semudah tu kita dapat.

Allah nak buangkan kesombongan tu bukan secara magic boleh ‘tinggg’ saja dan lepas tu kita pun jadi baik, tawadhu’, tunduk segala bagai tu.

Macam mana cara Allah nak buangkan kesombongan kita? Mungkin kita akan terbuat salah lalu dihina-hina. Mungkin kita difitnah lalu kita pun dicerca.

Masa tu baru kita rasa.. sedih.. kecewa.. rendah diri..segan… dan kemudian barulah kesombongan itu tercabut secara perlahan-lahan.

Macam tu juga bila kita berdoa..

“Ya Allah, dekatkanlah aku dengan-Mu. Jadikanlah aku seorang yang mencintai-Mu lebih dari apa pun.”

Tinggi betul permintaan kita. Itu level ahli syurga. Boleh. Allah boleh beri.. tapi tentu saja bukan secara percuma. Kan Dia dah kata akan dahulukan dengan ujian. Kan Dia dah janji yang setiap kesenangan harus melalui dahulu kesukaran!

Lalu untuk mendekatkan kita dengan-Nya, Allah pun tarik nikmat hubungan kita dengan manusia. Direnggangkan kita dengan mereka. Mungkin pasangan mula curang. Mungkin sahabat mula khianat.

Dan kita pun teresak-esak atas sejadah…mengadukan nasib kita kepada Allah. Allah saja yang kita percaya. Allah saja yang setia.

Nah.. bukankah itu yang kita minta?

Kawan.. Allah tunaikan permintaan hamba-Nya dengan banyak cara. Aturan takdir tak sama macam yang kita fikir.

Kita dah minta hal yang baik-baik dari Allah.. bila dalam proses Allah nak beri tu, jangan pula kita marah-marah. Kuatkan hati kita untuk terus mujahadah dan terus bersangka baik dengan apa pun takdir yang singgah.

Aturan takdir ni berbelit-belit sebenarnya. Ceritanya panjang. Maka, tak perlulah kita pandai-pandai buat kesimpulan hanya berdasarkan sesuatu ujian.

Hal yang kita fikir nikmat, belum tentu nikmat. Hal yang kita fikir musibah, barangkali satu anugerah besar daripada Allah.

Kita tak tahu!

Dan sebagai insan lemah yang tak mampu menafsir apa yang tersirat dari yang tersurat, tak perlulah kita tunjuk pandai sangat.

Raikan saja apa yang kita rasa ketika ini sekadarnya.. Berpada-pada melayan kerenah emosi kita. ~ Bonda Nor.

  1. salam hormat,
    kisah orang yang terisak-isak mengadu kepada tuhannya setelah ditimpa musibah mengingatkan saya kepada ayat-ayat al-quran berikut;

    Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.
    (Fussilat 41:51)

    Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.
    (Az-Zumar 39:8)

    Benarlah, berbagai-bagai ujian akan menimpa kita sehinggalah kita menemui ajal. Sepanjang perjalan itu, kita melihat orang bergembira dan bersedih, tetapi kita tidak tahu apakah kegembiraan dan kesedihan itu baik untuk mereka. Benarlah kata-kata tuan, kita tidak boleh cepat mengatakan ini kebaikan dan keburukan kepada orang apabila kita melihatnya. Hanya Tuhan maha mengetahui, kepadanya kita berserah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge