CahayaDiana.com ®

💕 Coretan Hati Cik Editor - Bukan Blog Gosip Artis 💕
Memory Remains | Personal

Diana Jangan Menangis kalau Ayah Meninggal Dunia – Part 2

20/09/2016

اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

Sambungan dari post  Diana Jangan Menangis kalau Ayah Meninggal Dunia (Part 1) . Klik sini untuk baca Part 1.

💕💕💕💕💕💕💕💕

Saya tertunggu-tunggu apa yang dia nak cakap dan contoh apa yang ustaz Yaakob nak bagi. Ustaz ni berkalau-kalau pulak dengan saya. Lambat-lambat pulak dia cakap.. “Kalau apa?..cepatlah cakaappp…!” ~ Geram saya dibuat tengok ustaz Yaakob ‘berdrama’ dengan saya.

“…. Kalaulah.. ayah awak meninggal… “

“Hah? Ayah saya meninggal..?!!” – terus saya potong cakap ustaz.

“Kan saya cakap tadi.. Kalau saja.. ni contoh saja saya bagi. Saya pun tak tau kenapa awak dipanggil balik. Saya cuma nak cakap.. kalau ayah Diana meninggal…”

“Ya Allah ustaz niii… boleh pulak dia buat contoh ‘kalau ayah saya meninggal?’.. Kan ke banyak contoh lain lagi dia boleh bagi.. kenapa nak bagi contoh macam ni pulak?”

~ Hati saya makin memberontak dan saya dah tak endahkan apa yang ustaz Yaakob cuba cakap. Yang saya tahu.. saya tak boleh terima contoh yang dia bagi tu dan saya pun dengar acuh tak acuh.

Agak lama dia membebel /berceramah depan saya..  Tentang orang Islam kena terima hakikat, redha sekiranya ada orang meninggal. Jangan menangis atau meraung… dan bla..bla…bla.. saya pun tak pasti apa lagi yang diceramahkannya. Dalam kepala hanya fikir nak balik dan lihat apa yang terjadi sebenarnya.

Selesai ceramah, ustaz Yaakob benarkan saya balik ke asrama packing beberapa pakaian saya.

“Waaahhh.. dapat cuti lama tak? Kalau lama boleh packing baju banyak sikit bawak balik.” – Sempat lagi saya berseloroh depan ustaz Yaakob. Sikit pun hati saya tak tunjuk kesedihan sebab masih lagi tak puas hati dengan ustaz Yaakob dan tak boleh terima langsung kata-katanya tu. Ustaz Yaakob cuma senyum tak balas cakap saya. Tanpa buang masa saya segera beredar dari bilik Kafa menuju ke asrama untuk kemaskan pakaian saya. Dalam hati masih lagi keliru.

“Makcik…!!! Kenapa makcik mai ambik kami?”

Soalan pertama saya ajukan pada makcik Jamaliah yang baru jer muncul di depan bilik guru bersama suaminya Pakcik Mokhtar. (saya memang bahasakan diri saya ‘kami’ dengan makcik Jamaliah).

Wajah makcik Jamaliah tenang. Tak nampak langsung gambaran seolah-olah ayah saya meninggal dunia seperti yang digambarkan oleh ustaz Yaakob.

“Kita nak pi tengok adik ayah.. Pak Mat tengah sakit” – Huh saat tu Allah sahaja yang tahu betapa saya gembira kerana contoh yang ustaz Yaakob bagi tu sama sekali tak benar. Dunia yang tadi kelam bagaikan ada cahaya semula. Syukur sangat-sangat kerana saya masih ada ayah.

Hampir terlupa saya bapa saudara saya Pak Mat, adik kepada ayah memang tengah sakit teruk time tu. Tapi sekurang-kurangnya saya dah dapat kepastian bahawa ayah saya masih hidup, sihat wal’afiat hendaknya. Itulah perasaan saya pada waktu tu. Gembira tak terkata.

Dalam perjalanan pulang, mulut saya tak henti-henti mengomel bercerita tentang ustaz Yaakob yang berceramah kat saya kononnya “Kalau ayah Diana meninggal…. Diana jangan menangis..”- Siap saya mengajuk kata-kata ustaz lagi depan makcik dan pakcik.

Makcik dan Pakcik diam jer sepanjang perjalanan balik kampung. Langsung tak menyampuk cerita saya. Cuma tersenyum dengar saya berceloteh komplen tentang ustaz Yaakob. Memang ustaz Yaakob paling saya tak suka pada waktu tu.. (mintak maaf yer Ustaz Yaakob).

Pakcik berhentikan kereta di sebelah tol ( pun saya tak ingat tol apa). Makcik keluar menuju ke public phone, kemudian datang semula ke kereta.

“Yati tak angkat phone. Call yang lain semua tak jawab…” Ujar Makcik dengan nada perlahan seolah-olah nak sembunyikan sesuatu dari saya. Ada sedikit keluhan pada nada makcik.. Saya buat tak endah dan malas nak fikir yang bukan-bukan lagi. Lagipun dah penat membebel. Baik saya diam jer.

Untuk hilangkan serabut di kepala otak dengan hal di sekolah tadi.. Saya menikmati pemandangan sawah padi yang menghijau. Cantik…

Suasana dalam kereta sunyi sepi. Masing-masing membisu. Tadi yang bising tu sebab saya sibuk bercerita dan mengomel. Sekarang bila saya diam, semua turut diam. Pelik. Selalunya makcik saya ni banyak cakap jugak.

Tiba di pekan Kuala Ketil, ketika melalui simpang masuk ke Teloi Kanan, saya rasa pelik sebab  pakcik tak belok pulak masuk simpang ke rumah Pak Mat. Pakcik drive terus menuju ke kampung saya. Tadi bukan main kelam kabut jer diorang ni macam Pak Mat dah nazak. Ingatkan nak pergi rumah Pak Mat dulu.. Mungkin nak suruh saya balik tukar uniform sekolah dulu lah kut.

Setibanya di halaman rumah, saya lihat ramai orang di rumah saya. Ada kenduri apa kat rumah saya? Hati semakin rasa lain macam. Takkan Pak Mat dibawa ke rumah saya? Mungkin! Ayah saya nak jaga Pak Mat kut. Ayah saya kan seorang abang yang baik pada adik-adiknya.. Tak mustahil. Tapi kenapa lain macam jer saya tengok? Ada yang menangis…

Saya keluar dari kereta. Semakin terpinga-pinga. Sedikit pening dan keletihan. Tapi suasana di rumah saya buat saya jadi keliru macam yang saya rasa masa di sekolah pagi tadi. Beberapa orang perhati ke arah saya dengan pandangan semacam. Saya dah tak endahkan sesiapa pun. Cuma saya tercari-cari di mana mak dan ayah. Saya meluru masuk ke rumah..

Di dapur… ramai kaum wanita sedang bersedih. Ini bukan ‘kenduri’ biasa ni. Kenapa penuh sesak rumah saya? Apa yang diorang sedang raikan? Mana mak? Mana ayah? Mana adik-adik saya.. Amy.. Amri? Kakak-kakak dan abang-abang saya yang lain duduk jauh so saya tak mencari mereka sangat. Saya jadi keliru. Tak tahu perasaan saya bagaimana waktu tu. Saya pun dah tak pedulikan sesiapa lagi. Mata saya hanya nak cari mak ayah saya jer..

“Diana, hang tau dak sapa?”

Tiba-tiba Zakiah, sepupu saya menegur. Straight to the point! Sapa apa? Apa maksud ‘sapa’ tu? Saya blur kejap.. Saya tanya Zakiah semula..

“Sapa apa?”

Zakiah tak jawab.. dia diam. Saya menonong jer jalan dalam kesesakan orang ramai tu mencari mak saya. Tiba-tiba mak muncul depan saya.. Lihat wajah mak yang bergenang air mata tu.. saya dah dapat agak, pasti ada kematian. Tapi siapa?

“Sapa mak?”

Kali ni saya betul-betul pasti ada seseorang yang meninggal di rumah saya tapi siapa? Soalan tu saya ajukan pada mak.

“Ayaaaahhhhhhh…..!!!!”

Mak yang tadi saya lihat sedang menahan sebak terus menghamburkan tangisannya semula bila menjawab pertanyaan saya. Semakin menjadi-jadi sambil memeluk saya erat. Saya terpaku.. terkesima.. buntu. Terus kosong jer perasaan. Terkejut semestinya.. tapi keadaan saya pada masa tu seolah-olah tiada respon apa-apa melainkan hanya terpaku membiarkan mak peluk saya. Kuat pelukan mak.

And guess what..? Dalam keadaan saya masih dalam pelukan mak.. Tiba-tiba.. kata-kata ustaz Yaakob pagi tadi muncul satu persatu. Terngiang-ngiang di telinga saya. Jelas!

“Diana.. kalau ayah awak meninggal.. jangan menangis tau. Kita ni orang Islam. Kita jangan menangis. Kita kena redha. Doa banyak-banyak supaya Allah tempatkan ayah awak di kalangan orang-orang beriman. Ayah awak pasti nak awak jadi kuat. Allah sayangkan ayah Diana..”

Pelik. Saya langsung takde rasa nak menangis. Terus rasa berlapang dada dan redha yang Allah dah ambil semula ayah saya. Dalaman saya seolah-olah jadi ‘kuat’ dan saya balas pelukan mak . Cuba tenangkan mak yang masih lagi menangis. Mak lepaskan pelukan perlahan-lahan dan suruh saya lihat jenazah ayah yang sedang dimandikan.

Saya masuk ke bilik dan tatap wajah ayah yang sedang dimandikan. Tenang jer wajah ayah seolah-olah sedang tidur. Di hujung kepalanya.. saya sedekahkan Al-Fatihah dan berdoa agar Allah tempatkan ayah di kalangan para solihin.

Maaf.. saya tak ingat siapa yang mandikan jenazah arwah ayah waktu tu. Yang saya ingat sorang jer.. Pak Rashid. Sayangnya abang-abang dan kakak-kakak saya yang lain semua tinggal jauh dan tak seorang pun yang sempat balik lihat jenazah arwah ayah buat kali terakhir.

Mata saya tak lepas dari melihat jenazah ayah. Itulah kali terakhir saya menatap wajah ayah saya.. Saat paling pilu bila ayah dikafankan. Sebelum wajah ayah ditutup sepenuhnya.. beberapa ahli keluarga terdekat diberi kesempatan mengucup dahi ayah. Saat saya kucup dahi ayah.. terasa sebak sangat. Tapi air mata masih tahan tak jatuh. Mungkin hikmah di sebalik ceramah ustaz Yaakob tu.

Hakikatnya saya taklah kuat mana. Masa tengah menaip ni pun dalam keadaan air mata mengalir deras di pipi sebab terbayangkan situasi pada waktu tu. Terasa rindu sangat nak tatap wajah ayah.. Rindu yang sangat dalam. Ya Allah.. kuatkanlah hati hamba Mu ini….

Sayangnya saya terlalu penat untuk mengiring jenazah ayah ke kubur… Badan dah terlalu lemah. Lepas jenazah ayah di usung ke kubur. Saya terus tertidur.

Bila terjaga dah maghrib. Mak kejutkan saya untuk solat. Saya nampak abang Yon dah sampai dan merah matanya. Agaknya baru lepas menangis. Tiba-tiba saya seolah-olah tersedar hakikat yang ayah saya dah tiada lagi. Saya dah jadi anak yatim. Saya terfikir yang saya takkan jumpa ayah lagi di dunia ni…

Saya menangis tersesak-esak. Tengah solat Maghrib pun saya menangis. Lepas solat saya baca Yassin dan sedekahkan kepada arwah ayah dalam keadaan sebak. Di hall rumah orang tengah bertahlil. Saya bersendirian dalam bilik. Tangisan saya menjadi-jadi malam tu. Kata-kata semangat yang ustaz Yaakob ucap tu semua dah tak berkesan lagi untuk saya menahan tangisan.

Begitulah sikit sebanyak kisah yang saya ingat. Setiap orang ada kisah tersendiri bagaimana diberitakan tentang pemergian orang yang kita sayang. Ini kisah yang saya alami dan bagaimana perasaan selepas itu. Kita selalu mendengar berita orang meninggal.. tapi bila orang yang meninggal tu adalah ahli keluarga kita lebih-lebih lagi mak atau ayah kita… pastinya ia sesuatu yang perit untuk kita hadapi.

Inshaa Allah will continue soon. Banyak kisah kebaikan arwah ayah yang saya nak rakamkan di sini. Semoga segala kebaikan arwah ayah.. sentiasa diingati dan memberi kelapangan kepada kubur arwah ayah saya. Kepada anda yang setia baca hingga penghujung ni.. terima kasih diucapkan dan saya mohon untuk sama-sama sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah ayah saya.. Allahyarham Md Nor bin Ismail.. Al-Fatehah..

إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن

Ya Allah, ampunilah dosa-doa Allahyarham Md Nor bin Ismail , lindungilah dia, muliakanlah tempat kembalinya, lapangkan kuburnya dan tempatkan dia bersama orang-orang yang beriman. Amiinnn.

Bisirril Fatihah…

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge