CahayaDiana.com ®

💕 Coretan Hati Cik Editor - Bukan Blog Gosip Artis 💕
Memory Remains | Personal

Diana Jangan Menangis Kalau Ayah Meninggal Dunia…

19/09/2016

اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

“Diana jangan menangis kalau ayah meninggal dunia..” Pesan seorang ustaz semasa saya dipanggil ke bilik Kafa sementara menanti makcik datang untuk jemput saya pulang ke rumah. Saya masih ditingkatan 1 time tu dan tinggal di asrama. Jarak rumah dengan sekolah memang jauh.. Lebih kurang 1 jam perjalanan. Memang terkejutlah tiba-tiba makcik datang nak ambik saya pulang. Kenapa? Bukannya cuti sekolah pun.. Sementara tunggu makcik sampai tu lah saya dapat ceramah pendek dari ustaz Yaakob.

__

Tanggal 14 Rabi’ul Akhir 1415 Hijrah, Isnin bersamaan 19 September 1994

Pagi tu seperti biasa, usai 5 minit bacaan ayat suci Al-Quran, terdengar nama saya dipanggil dari corong pembesar suara sekolah. Saya diminta ke bilik guru. Pelik dan hairan. Tapi saya akur..

Dibilik guru.. saya tak tahu nak jumpa siapa sebab tak dimaklumkan saya harus jumpa siapa. Pada masa tu kelihatan beberapa guru memandang saya dengan pandangan pelik. Ada beberapa guru menegur saya dengan pertanyaan…

“Awak ka Nordiana?”

Saya cuma angguk. Tiap kali terserempak dengan guru lain.. soalan yang sama saya dapat.. “Awak ka Nordiana.?” (‘ka’ tu loghat Kedah maksud sama macam ‘ker’) ..

Bertambah pelik saya dibuatnya. Macam ada kesalahan besar yang saya dah buat hingga semua guru dah mula kenal saya.. (biasanya tingkatan 1 masih dalam sesi suaikenal antara guru dan murid-murid, jadi memang ramai dah mula kenal saya).

Dalam hati penuh tanda tanya. Tapi masih sabar lagi. Betul-betul keliru dan tak faham time tu. Tiba-tiba muncul Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) yang mesra dipanggil ‘Abah’ datang kat saya dan meminta saya berjumpa ustaz Yaakob di bilik Kafa (tak salah saya namanya ustaz Yaakob Yusof). PK HEM yang kami panggil ‘Abah’ tu pula kalau tak silap saya namanya ialah ustaz Hj. Mahjuddin..

“Abah… kenapa nama saya dipanggil? Ada apa sebenarnya?”

Saya beranikan diri tanya Abah… kali pertama bercakap dengan PK HEM time tu. Sedikit kecut sebab Abah ni kadang-kadang nampak macam garang. Tapi hari ni lain macam pula. Tak tegas macam selalu diucap semasa perhimpunan sekolah. Fizikal Abah tinggi, tegap dan tegas orangnya. Nasib baik wajah sedikit manis seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee… hampir seiras pula dengan wajah arwah ayah saya.

“Tak dak apa-apalah… anak pi jumpa ustaz Yaakob dulu na.. sementara tunggu makcik anak nak mai ambik anak balik rumah…”. ~ Tuturnya lembut dalam loghat utara.

“Hah? Balik rumah? Tapi kenapa? Hari ni kan baru hari Isnin.. bukannya cuti sekolah nak mai ambik saya sesuka hati bawak balik rumah…”~ bisik hati kecil saya.

Pelbagai soalan mula timbul. Bertambah keliru saya dibuatnya. Tapi saya ikut jer arahan Abah. Lagipun lembut jer suara Abah bercakap.. terasa naluri kebapaannya terserlah lebih-lebih lagi bila dia panggil saya ‘anak’.. 1001 pujian saya bagi kat PK HEM yang berjiwa kebapaan ni. Teringat pula pada arwah ayah saya di rumah time tu.

Saya dah dibilik Kafa. Ustaz Yaakob pula takde. Saya tunggu agak lama sambil diri masih keliru dengan situasi yang sedang saya alami. Terasa banyaknya masa yang dibuang diluar kelas. Terfikir jugak dalam hati.. 2 mata pelajaran yang saya dah ter‘missed’ pagi tu. Ni semua gara-gara guru-guru ni lah minta saya ke sana sini tapi masih belum ada jawapan kenapa saya perlu balik rumah?

“Diana tahu tak kenapa Diana dipanggil balik rumah?”

– Soal ustaz Yaakob pada saya saat dia muncul di bilik Kafa.

Eh.. ustaz pulak yang tanya saya. Patutnya saya yang tanya ustaz kenapa saya dipanggil kesana sini. Mula ke bilik guru, sekarang di bilik Kafa pulak. Dah 1 jam lebih saya terpinga-pinga tak tahu nak buat apa. Sebenarnya hati saya dah mula memberontak.

“Manalah saya tahu ustaz.. Mungkin abang saya nak kahwin kut”..

Selamba jer saya jawab macam dah takde mood sebenarnya. Saya memang terfikir tentang urusan keluarga apakah yang penting pada masa tu. Kebetulan memang abang saya tengah dalam proses nak kahwin. Ustaz Yaakob tersenyum. Kemudian dia ulang lagi soalan yang sama pada saya.

“Betul Diana tak tau kenapa Diana dipanggil balik rumah?!”

Bunyi makin serius. Tapi hati saya makin memberontak. Saya betul-betul takde mood dan dah buat muka depan ustaz.

“Adoii.. tolong lah cakap apa sebenarnya yang jadi. Jangan buat saya macam ni boleh tak?” ~ rasa macam nak jerit jer macam ni.. tapi saya jerit dalam hati jer…

Agaknya ustaz Yaakob dah perasan wajah saya yang dah masam tu. Dia terus bersuara lagi..

“Macam ni lah.. Kalaulah… ni contoh saya bagi saja tau. Kalau laaahhh….. Contoh saja tau…. jangan rasa apa-apa…”

Saya tertunggu-tunggu apa yang dia nak cakap dan contoh apa yang ustaz Yaakob nak bagi. Ustaz ni berkalau-kalau pulak dengan saya. Lambat-lambat pulak dia cakap.. “Kalau apa?..cepatlah cakaappp…!” ~ Geram saya dibuat tengok ustaz Yaakob ‘berdrama’ dengan saya…

Bersambung…

Klik sini untuk baca..

>> Diana Jangan Menangis kalau Ayah Meninggal Dunia.. Part 2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge