CahayaDiana.com ®

💕 Coretan Hati Cik Editor - Bukan Blog Gosip Artis 💕
Agama | Doa | Ramadhan | Umum

Doa selepas Terawih yang menusuk Kalbu

02/06/2017

اَلسَّلاَ مُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

Doa selepas Terawih yang menusuk kalbu : Selepas solat witir tadi, imam membacakan doa dalam Bahasa Melayu. Agak jarang kita dengar imam nak baca doa dalam Bahasa Melayu. Memang ramai yang tersentuh hati hingga mengalirkan air mata bila menghayati bait-bait bacaan doa imam.

Sewaktu moreh saya ambil peluang bertanya pada imam, dari mana beliau mendapatkan doa tersebut? Dari Majlis Agama atau JAKIM? Itulah yang saya fikirkan. Imam jawab, doa tersebut dibuat sendiri, jadi saya minta pak imam hantarkan doa tersebut untuk tatapan kita semua.

Silalah baca dengan teliti dan hayati doa dibawah penuh syahdu;

“Ya Allah.. Ya Rahman.. Ya Rahim..

Dalam dakapan Ramadhan yang suci ini, dengan rendah diri, kami yang kerdil lagi hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kepada-Mu ya Allah…

Semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami, kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar.

Ya Fattahu ya A’lim…

Ajarkanlah kami yang lemah ini untuk melihat jalan keluar dari semua masalah yang  membelenggu kami, bukakanlah hijab kepada kami yang tak mampu melihat setiap kebaikan pada kejadian dan takdirMu.

Ya Allah.. takdirkanlah yang baik-baik untuk diri kami, janganlah Kau menguji kami pada apa yang tidak mampu kami lalui… Bukakanlah pintu-pintu Rahmat-Mu untuk kami ya Allah…

Ya Allah Rabbul Jalil…

Sejahterakanlah untuk kami kesihatan yang baik… supaya dengannya kami dapat beribadah kepada-Mu. Ya Allah… ampunkanlah segala dosa kami, kerana kami terlalu banyak dosa kepada-Mu ya Allah..

Kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat pada-Mu bila ditimpa sakit, kami lupa kepada-Mu ketika senang, kami ingat kepada-Mu ketika datang kesusahan.

Kami lupa kepada-Mu di saat kami gembira, kami ingat kepada-Mu ketika kami sedih dan kecewa, kami habiskan usia muda dengan keseronokan dunia, kami mula mengingati-Mu ketika usia sudah tua.

Justeru ya Allah… ampunilah semua dosa kami.. berilah kekuatan kepada kami untuk melawan hawa nafsu dan dunia yang sentiasa melalaikan kami daripada mengingatimu ya Allah…

Ya Allah… ya Rahman… ya Rahim…

Ampunilah dosa kedua ibu bapa kami, setiap titik susu yang mengalir dalam diri kami, kau gantilah dengan kebajikan untuknya yang boleh membawanya ke syurga-Mu

Ya Allah.. ya Rahman…

Pada setiap keringat yang mengalir pada tubuh ayah kami dalam mencari rezeki kepada keluarga kami… Kau gantilah dengan keampunan yang membawa ke syurga-Mu ya Allah.

Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak akan mampu kami membalasnya. Bahkan terkadang mereka hidup dalam kesusahan dan kesempitan, sedangkan kami berada dalam kesenangan dan kemewahan…

Justeru kurniakanlah kepada kedua ibubapa kami tempat yang istimewa di syurga-Mu ya Allah…

Ya Allah…

Kami juga memohon ampun untuk kaum kerabat kami, sahabat-sahabat kami dan guru-guru kami yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kami ke alam barzakh… golongkanlah mereka dalam orang-orang yang Kau redhai…

Apabila tiba pula giliran kami menuju barzakh-Mu, maka Kau ambillah kami dalam keadaan yang baik-baik.. dalam keampunan dan Rahmat-Mu ya Allah…

Ya Allah ya Aziz…

Kurniakanlah kepada kami jiwa yang tenang dan tenteram… hiasilah hati kami degan sifat syukur, redha, sabar, ikhlas, amanah dan tanggungjawab… Kau jauhkanlah daripada kami sifat ujub, riak, takabbur, fitnah, mengadu domba, sangka buruk dan khianat.

Ya Rashid… ya Rahman… ya Rahim…

Jika ada di kalangan kami mereka yang diuji dengan kesusahan, maka kau bantulah mereka, permudahkanlah urusan mereka. Jika ada di kalangan kami mereka yang bersedih hati, berikanlah ketenangan dan jalan keluar kepada mereka.

Jika ada di kalangan kami sedang berhajat dengan keperluannya, maka tunaikanlah hajat mereka, dan cukupkanlah keperluan mereka. Jika ada di kalangan kami mereka yang diuji dengan sakit, maka kau sembuhkanlah mereka ya Allah… Agar dapat beribadah bersama kami.

Jika ada di kalangan kami mereka yang derhaka kepada ibubapa atau terkurang dalam melayani mereka, maka Kau ampunilah mereka. Jadikanlah kami anak-anak yang taat dan berbakti…

Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar dan Mengasihani…

Ya Allah… ya Malikal Mulk…

Ya Razak.. ya Fattahu ya A’lim..

Kurniakan kepada kami rezeki yang halal lagi diberkati dan jadikanlah dengan rezeki itu kami semakin dekat dengan-Mu… Sebaliknya janganlah Kau jadikan kami daripada golongan yang lupa diri setelah mendapat padanya tempat kami mencari kehidupan.

Elokkanlah urusan akhirat kami, yang padanya tempat akan kembali untuk selama-lamanya. Jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kepada kami, dan jadikanlah kematian sebagai ketenangan kepada kami daripada segala kejahatan.

Sesungguhnya kami ingin kembali kepada-Mu dengan jiwa yang tenang…

Ya Allah… ya Zal Jalali wal Ikram…

Ya Allah… Janganlah Kau jadikan Ramadhan ini sebagai yang terakhir buat kami. Temukanlah kami dengan Ramadhan yang akan datang.

Tapi… andainya ini Ramadhan terakhir buat kami, jadikanlah puasa kami sebagai puasa yang Kau rahmati. Jadikanlah Ramadhan kami ini paling bererti, penuh dengan cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha serta kasih sayang-Mu ya Allah…

Jadikanlah Ramadhan ini sebagai penghapus dosa-dosa kami. Ya Allah… Temukanlah kami dengan Lailatul Qadr… Pilihlah kami di kalangan hamba-Mu yang dapat beramal di malam Al-Qadr…

Ya Allah… Terimalah amalan kami.. terimalah taubat kami… Ampunkanlah segala dosa kami… Amanahkanlah kehidupan kami di sana nanti yang kekal abadi… Kurniakanlah kepada kami syurga-Mu yang maha luas nikmatnya…

Aaminnn… Ya Robbal Alaminnn…”

PS: Doa di atas adalah viral daripada group whatsapp. Secara peribadi, saya sendiri tak pasti tentang kesahihahannya. Tapi, apa yang dirasakan baik dan dapat memberi manfaat buat kita semua.. lebih-lebih lagi yang boleh memberi keinsafan.. why not saya kongsikan di sini. Tapi hati ni kuat mengatakan apa yang diviralkan ni adalah benar. Jika ada kawan-kawan yang tahu kesahihan cerita mengenai doa di atas, boleh kongsikan pendapat anda di sini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge