CahayaDiana.com ®

💕 Coretan Hati Cik Editor - Bukan Blog Gosip Artis 💕
TV/Filem

Khayalan penerbit drama, filem Melayu kena dipantau

07/05/2009

Artikel ini bertujuan untuk rujukan diri sendiri sahaja. Sumber dari: www.utusan.com.my . Bertarikh 5/5/2009

*********

SUDAH saban kali penerbit drama dan filem Melayu dikritik kerana gagal memartabatkan slogan ‘Filem kita wajah kita’. Terbaru, dalam Utusan Malaysia 4 Mei yang lalu mereka ditegur lagi kerana kegagalan memartabatkan bahasa Melayu yang baik. Sebaliknya mereka memilih menggunakan ‘bahasa longkang’ (meminjam ungkapan Ku Seman Ku Hussain) sebagai medium persembahan mereka.

Sebahagian penerbit drama dan filem Melayu memang buta hati. Mereka terlalu asyik dengan fatamorgana pandangan mata sehingga mereka terkeliru dan gagal membezakan khayalan dengan kenyataan.

Sebagai karyawan yang duduk di ‘alam bawah sedar’, mereka gagal melihat sesuatu kenyataan itu secara objektif. Beberapa tahun lalu, seorang produser Melayu mempertahankan gambaran aksi gadis Melayu berbikini di pantai kerana katanya itulah realiti masyarakat Melayu apabila berkelah di pantai. Benarkah begitu? Jika benar begitu, di manakah pula letaknya falsafah ‘seni sebagai cerminan hidup masyarakat’?

Berdasarkan intipati ‘cerminan’, bukankah falsafah itu bermaksud; jika ‘kanan dalam realiti, maka ia akan menjadi kiri dalam seni’? Jika bukan demikian, maknanya drama dan filem itu bukanlah karya seni yang sebenarnya dan tidak seharusnya mendapat apa-apa pengiktirafan kecuali barangkali pencapaian box office sahaja.

Soal penggunaan bahasa Melayu dalam drama dan filem Melayu memang telah lama memualkan pencinta bahasa Melayu.

Bahasa yang ditegur oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai ‘sekerat ular sekerat belut’, bukan semakin diperbaiki tetapi sebaliknya semakin menjadi-jadi. Jika menonton drama-drama Melayu di mana-mana rangkaian televisyen sekalipun, adakalanya kita keliru sama ada yang ditonton itu drama Melayukah atau soap opera-kah! Soalnya, realitikah itu?

Para produser sebenarnya cuba ‘memaksa’ masyarakat supaya menerima bentuk bahasa Melayu yang sedemikian kerana itulah bahasa yang mereka gunakan dalam kalangan karyawan.

Dalam keadaan masyarakat yang memang mudah terpengaruh, bahasa longkang itulah yang menjadi ikutan dan akhirnya bahasa Melayu tercemar dengan begitu teruk sekali. Ingat lagikah kita dengan isu istilah ‘Sure Heboh’ dahulu?

Dengan kembalinya Dr. Rais menerajui kementerian yang pernah beliau ketuai dahulu, wajar beliau melihat semula pemikiran lapuk yang masih melingkari sebahagian karyawan drama dan filem kita.

Bersesuaian dengan semangat Satu Malaysia, slogan ‘Filem kita wajah kita’ wajib dihayati supaya drama dan filem kita tetap relevan dan terus berfungsi mengikut arus perubahan yang bakal melanda masyarakat.

Jika hal ini gagal dilakukan, industri drama dan filem kita akan kembali menempuhi zaman malap seperti di era 1970-an dan awal 1980-an dahulu.

Selain isu bahasa, satu lagi isu yang saya fikir wajib ditangani oleh Dr. Rais ialah drama dan filem tahyul yang sangat menular dalam kalangan penerbit.

Jika filem-filem Barat berusaha mencipta wirawan baru seperti menerusi siri filem X-men dan wirawan revival seperti siri televisyen Smallville dan siri filem Spiderman, penerbit drama dan filem Melayu sibuk pula mengangkat semula hantu jembalang Melayu untuk dijual kepada penonton.

Maka lahirlah semula hantu, puntianak, polong, pelesit, pocong, di samping watak baru seperti ceplos dan sebagainya.

Persoalan berat seperti akidah dan persoalan ‘industri perbomohan’ perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa kerana sudah kembali menular dalam kalangan masyarakat Melayu.

Utusan Malaysia 4 Mei turut melaporkan bahawa Menteri Besar Perak dituduh ‘membenarkan dewan persidangan dimasuki bomoh untuk menjampi kerusi Speaker’!

Satu waktu dahulu, seorang wakil rakyat terkorban secara sadis akibat amalan khurafat itu. Itukah yang kita mahu kembalikan?

Persoalan anak-anak tidak mahu dipisahkan tempat tidur mereka daripada ibu bapa, juga harus diberi perhatian kerana Islam mengingatkan supaya anak-anak yang berusia tujuh tahun ke atas perlu dipisahkan tempat tidur mereka daripada ibu bapa.

Lebih jauh daripada persoalan-persoalan itu, orang Melayu yang sememangnya sedang dilanda krisis politik dan ekonomi, diburukkan lagi oleh para karyawan drama dan filem yang menampilkan kelemahan orang Melayu dari segi roh dan semangat.

Betapa lemahnya orang Melayu sehingga digambarkan mereka terpaksa ‘membeli mimpi’ dan ‘bergantung idealisme palsu pemikiran bawah sedar melalui alam tahyul’ itu.

Wahai orang Melayu! Sudah-sudahlah membuka pekung di dada.

DR. SHARIFUDIN LUBIS

Universiti Putra Malaysia

© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge