CahayaDiana.com ®

💕 Coretan Hati Cik Editor - Bukan Blog Gosip Artis 💕
TV/Filem

Penerbit belum berani

08/05/2009

Artikel ini bertujuan untuk rujukan diri sendiri sahaja. Tarikh bilakah artikel ini dikeluarkan tak dapat dipastikan. Apa2 pun kita layan jer lah..

******

Oleh Ismail Muhamad
am@hmetro.com.my

Pandangan itu disuarakan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Kapten (K) Khir Mohd Noor yang mengharapkan ada syarikat produksi filem dan drama tempatan menghasilkan sesuatu yang boleh ditunjukkan ke peringkat lebih jauh sebagaimana filem atau drama dari negara luar yang ditayangkan di stesen penyiaran negara ini.

“Kita selalu cakap filem kita untuk pasaran dunia, tetapi tidak nampak pun.
Buat skrip dan keluar bajet sikit hanya nak tayang di Malaysia saja. Jadi sampai bila kita nak masuk global?

“Saya fikir perlu adanya hubungan yang kukuh dengan negara luar diwujudkan bermula dengan peringkat kerajaan dengan kerajaan. Kita kena kongsi pasaran dunia sekarang. Negara lain pun buat filem atau drama lebih kurang sama dengan kita, tetapi mereka mampu tayang filem dan drama untuk peringkat global,” katanya.

Khir turut menolak tanggapan bahawa masalah bahasa menjadi isu utama filem atau drama tempatan tidak mampu ditayangkan di luar negara dan ia dibuktikan dengan kejayaan drama terbitan luar negara seperti Jepun dan Korea di Malaysia.

Beliau mencadangkan supaya pertukaran tayangan filem atau drama dengan negara luar boleh dilakukan supaya wujud satu kerjasama yang berkesan dalam mendapatkan penayangan secara adil.

“Dalam hal ini, syarikat penerbitan tempatan juga perlu berani termasuk mempunyai kesanggupan untuk membuat alih bahasa filem dan drama mereka untuk membolehkan stesen penyiaran dari negara luar memberi ruang kepada penayangan filem atau drama mereka.

“Filem dan drama kita ada kualiti dari segi kandungannya dan saya percaya ia boleh berkembang lebih jauh di peringkat global asalkan kita sanggup mengeluarkan belanja lebih bagi pembikinan filem dan drama ke peringkat global,” katanya.

Profima antara 18 rakan strategik yang mengadakan kerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menyalurkan kepakaran mereka dalam industri kreatif, sekali gus mengangkat industri berkenaan ke taraf lebih tinggi.

Antara rakan strategik yang menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan UMK minggu lalu ialah Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Industri Fesyen Malaysia (MFIA), Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (Pereka), Gabungan Industri Kandungan Kreatif Guild (CCIG) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Ia disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sempena pelancaran Agenda Keusahawanan UMK.

Mengenai kerjasama dengan UMK, Khir melihat ia satu usaha yang baik kerana dapat membantu pelajar dalam membangunkan industri kreatif melalui bimbingan penggiat industri itu sendiri.

Katanya, komitmen yang diberikan Profima terhadap UMK amat luas apabila pelajar mampu memanfaatkan 102 bidang kepakaran dalam industri kreatif dan membuka peluang kepada ahli persatuan untuk mengikuti pengajian dalam bidang usahawan
di universiti itu.

“Profima ditubuhkan pada 1993 dan ahli yang berada dalam persatuan itu adalah mereka yang bekerja di belakang tabir.

“Dalam industri kreatif, penerbitan filem dan drama, boleh dikatakan lebih 90 peratus adalah mereka yang bekerja di belakang tabir termasuk pengarah dan penulis skrip.

“Profima sudah sedia dari segi menyediakan tenaga pakar bagi membantu UMK apabila kerjasama strategik itu dilaksanakan bila-bila masa dari sekarang. Kami tidak ada masalah untuk melaksanakan komitmen dengan UMK selain mampu membantu menyediakan tempat untuk pelajar menjalani latihan industri di syarikat penerbitan di negara ini,” katanya.

  1. wah ..entri ni untuk yang pro dalam bidang ni aje..macm akk ni ..x pandai lagi nak komen yang berkaitan..tapi bagus jugak di baca untuk lebih tambah ilmu ..::)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge