CahayaDiana.com ®

💕 Coretan Hati Cik Editor - Bukan Blog Gosip Artis 💕
TV/Filem

Shaw Brothers makan isi, kita hirup kuah

13/01/2014

Sir Run Run Shaw prepares to speak at th

PENGASAS syarikat perfileman Shaw Brothers, Run Run Shaw telah meninggal dunia pada usia 106 tahun baru-baru ini. Dia mengasaskan Shaw Brothers bersama adiknya Runme Shaw dari Shanghai dan selepas Perang Dunia Kedua, Shaw Brothers menubuhkan syarikat menerbitkan filem Melayu, Malay Film Production.

Menurut buku Malaysian Cinema In A Bottle tulisan film historian Hassan Muthalib, Shaw Brothers antara syarikat yang banyak menerbitkan filem Melayu terutama adaptasi cerita bangsawan pada zaman awalnya.

Shaw Brothers membawa banyak pengarah dari India dan pelakon-pelakon awalnya ialah pemain-pemain bangsawan. Sebabnya dia mahu mengalihkan tumpuan daripada bangsawan kepada filem. Ketika itu filem adalah suatu yang asing bagi masyarakat khususnya di Singapura.

Daripada kisah perjalanan Run Run Shaw ini, Siti boleh membuat kesimpulan bahawa sejak dulu lagi orang Melayu memang suka jadi artis. Mereka suka glamor di depan kamera walaupun hanya sebagai pekerja kontrak dengan Malay Film Productions.

Jadi tidak hairanlah kalau hari ini sebahagian mak bapa Melayu membayangkan alangkah gembiranya kalau anak jadi artis popular. Budak-budak Melayu pula sebahagiannya bercita-cita menjadi artis kerana pemikiran mereka telah disilau gemerlapan.

Lihatlah masa zaman kegemilangan filem Melayu di Singapura, siapa yang mengaut keuntungan. Siapa pula yang hanya popular tapi tidak ada apa-apa? Shaw Brothers mengaut kekayaan dari duit tiket filem yang dilakonkan oleh orang Melayu.

Run Run Shaw yang umurnya panjang telah puas menikmati hasil daripada filem Melayu di Singapura sejak lebih 60 tahun lalu. Hasilnya dinikmati hingga hari ini oleh anak, cucu dan cicit malah piut Run Run Shaw. Tapi apa pelakon Melayu di Studio Jalan Ampas dapat? Adakah setimpal dengan pengabdian mereka termasuk ‘terpaksa’ mengetepikan norma agama dan budaya kerana ‘seni’?

Filem-filem terbitan Malay Film Production terus bernilai tinggi di pasaran. Hasil daripada filem-filem P. Ramlee yang diulang tayang sampai kita muak di Astro misalnya disumbangkan kepada cucu cicit Run Run Shaw. Shaw Brothers yang berpangkalan di Hong Kong tidak mahu menjual hakciptanya. Mereka cerdik kerana nilai pasaran filem begini tinggi. Lalu mereka hanya menjual hak tayangan pada jangka masa tertentu.

Akhirnya kita hanya berbangga mempunyai P. Ramlee. Tapi anak cucu P. Ramlee tidak merasa hasil kerja datuk mereka kerana semua hakcipta filem P. Ramlee dipegang oleh Shaw Brothers. P. Ramlee dan beberapa pelakon lain hanya memberikan nilai nostalgia kepada kita. Kepada Shaw Brothers memberikan pulangan mungkin sampai tujuh keturunan.

Ada sesetengah pihak menganggap Shaw Brothers memberi sumbangan kepada filem Melayu. Ada juga kata kerana Shaw Brothers juga membolehkan kita memiliki P. Ramlee. Tapi bagi Siti, filem Melayu di Singapura tidak banyak menyumbang kepada pembangunan pemikiran orang Melayu zaman itu.

Apa yang dilakukan oleh Shaw Brothers kepada pelakon dan pengarah Melayu wajar dijadikan iktibar. Ini satu pengajaran supaya kita tak mengulanginya pada hari ini. Shaw Brothers mengaut keuntungan daripada filem Melayu memang wajarlah sebab mereka itu kapitalis Cina.

Hari ini bila orang Melayu dan bukan Melayu banyak menjadi penerbit, jangan pula mengikut jejak Shaw Brothers. Kita tidak memerlukan industri filem kalau ia merosakkan pemikiran masyarakat. Kita juga tak mahu pelakon Melayu hanya gemerlapan di depan kamera tapi hasilnya dikaut ‘orang lain’ yang bertindak macam kapitalis Shaw Brothers.

Jangan terkejut atau buat-buat terkejut kalau Shaw Brothers versi baharu telah wujud dalam industri filem tempatan. Malangnya budak-budak Melayu yang kemaruk nak jadi artis tak pernah fikir semua itu. Mereka diikat dengan kontrak yang berat sebelah. Semua ini berlaku kerana budak-budak Melayu kemaruk nak jadi artis, orang lain yang kaut untung hingga anak cucu.

SITI JARUM: Peminum darah, bekas PM Israel Ariel Sharon sudah mati. Sepatutnya dia sudah lama mati.

 

Sumber: Utusan.com.my

  1. oooo..begitu rupanya sejarah wujudnya filem2 yang ada di tanah melayu dan bagaimana arwah tan sri p. ramlee seniman yg tidak asing lagi dalam mencipta nama..

    mmg amat membanggakan walaupun org bukan bumiputra yang mengetengahkan filem2 melayu ni.. tp apa2 pun semua filem yg dilakonkan oleh seniman kita dahulu mmg banyak pengajaran dan iktibar dan tidak dapt ditiru oleh generasi masa kini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge